Pusingan Kedua AstraZeneca Buat Warga Emas dibuka Ahad Ini

38

22 MEI: Pusingan kedua tempahan pengambilan vaksin AstraZeneca secara sukarela khusus untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas akan dibuka bermula 23 hingga 26 Mei ini.

Berita gembira itu dikongsikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan di Twitternya. 

Justeru, Khairy menyeru mereka yang berminat boleh mendaftar melalui http://vaksincovid.gov.my bermula 12 tengah hari, 23 Mei. 

Beliau berkata, pendaftaran tempahan itu dibuka untuk penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Kuching dan Miri di Sarawak.

Pusingan pertama pendaftaran untuk vaksinasi AstraZeneca dibuka pada 2 Mei, menyaksikan keseluruhan 268,000 slot habis ditempah dalam tempoh tiga jam dua puluh minit pendaftaran tempahan dibuka.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini dilaporkan berkata, fasa kedua pendaftaran vaksinasi AstraZeneca dibuka khusus kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas bermula 23 hingga 26 Mei, manakala mereka yang di bawah umur 60 tahun adalah pada tarikh berikutnya.

Beliau berkata, fasa kedua tempahan itu juga memberi keutamaan kepada mereka yang berada dalam senarai menunggu selepas mendaftar ketika pusingan pertama tempahan vaksin secara sukarela.

Malaysia dijangka menerima 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca pada akhir bulan ini melalui kemudahan pelan peruntukan vaksin Covid-19 global (Covax).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.