Polis tahan wanita buat aksi ‘wheelie’

50

22 MEI: Aksi ekstrem seorang wanita membuat aksi ‘wheelie’ menggunakan sebuah motosikal kapcai hingga tular di media sosial akhirnya memakan diri apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, wanita berusia 21 tahun tersebut membuat aksi tersebut dengan dibonceng seorang lelaki berusia 16 tahun.

“Kedua-dua mereka ditahan di rumah masing-masing di Jalan Pantai, Batu Pahat dan sebuah motosikal turut disita.

“Tangkapan dibuat selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengesan satu video memaparkan aksi itu dalam laman sosial pada jam 2.30 petang semalam.

“Siasatan mendapati aksi ‘wheelie’ yang berdurasi selama 31 saat berlaku pada 4.45 petang, 10 Mei lalu di Jalan Dato’ Syed Esa, Batu Pahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-duanya telah dibebaskan dengan ikat jamin dan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020).

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.