Penjawat awam dikompaun ingkar arahan kuarantin

32

22 MEI: Tindakan seorang pejawat awam di Lipis keluar rumah dan menanggalkan gelang kuarantin mengundang padah apabila dikompaun sebanyak RM5,000.

Lelaki berusia 47 tahun dari Kampung Perlak, Padang Tengku, Lipis itu didapati tidak berada di rumah ketika pemeriksaan dilakukan oleh pasukan pemantau pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan telah pergi ke kebun dan surau.

“Individu yang diarahkan menjalani kuarantin diingatkan supaya berada dalam rumah setelah diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan,” katanya melalui satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Azli selain itu berkata, hasil pemantauan dilakukan pada jam 11.45 pagi hingga jam 1.30 tengah hari, dua lelaki turut dikompaun masing-masing sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam sebuah kedai gunting di Jalan Lipis-Benta di sini.

“Individu berusia 21 dan 24 tahun itu merupakan tukang gunting dan pelanggan,” kata beliau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.