Peguam pertikai layanan istimewa terhadap Neelofa

27

22 MEI: Pengamal undang-undang dan peguam Negeri Sembilan mempertikai layanan istimewa yang diberi kepada pasangan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Nor (Neelofa) dan suami ketika hadir di Kompleks Mahkamah Seremban, Khamis lalu.

Neelofa hadir bersama suaminya, Mohammad Haris Mohd Ismail ketika sesi sebutan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Berikutan itu mereka membuat aduan kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam-Peguam Negeri Sembilan berhubung perkara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Peguam-Peguam Negeri Sembilan, Azmi Abdoll Aziz, berkata pihaknya menerima aduan berkenaan pada petang Khamis lalu iaitu hari yang sama kes Neelofa dan suami dihadapkan ke Mahkamah Majisret Seremban.

“Mereka (peguam) mempersoalkan mengenai layanan istimewa apabila kenderaan pasangan itu yang dilihat dibenarkan memasuki ke dalam kawasan kompleks mahkamah, sementara individu yang lain pula perlu meletakkan kereta di kawasan parkir di bahagian luar mahkamah.

“Aduan berkenaan sudah dimajukan kepada Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan, Madihah Harullah pada petang Jumaat lalu. Kita berharap pihak mahkamah akan memberi maklum balas dalam masa terdekat mengenai perkara terbabit,” katanya hari ini.

Pada hari prosiding di Mahkamah Majistret Seremban, Khamis lalu, kenderaaan BMW yang dinaiki Neelofa, 32, dan Mohammad Haris, 26, dibenarkan memasuki dalam kawasan kompleks mahkamah dan dibenarkan parkir di premis disediakan.

Bagaimanapun difahamkan, tempat parkir berkenaan hanya untuk kenderaan kakitangan, peguam, polis, pendakwa raya dan pengecualian hanya kepada orang awam (orang kelainan upaya).

Malah, mereka turut mendakwa bahawa ada sesetengah peguam pernah dimarahi oleh pengawal keselamatan apabila mereka meminta untuk membawa masuk kenderaan ke dalam pekarangan mahkamah dan mereka terpaksa patuh bagi menghormati integriti institusi terbabit.

Khamis lalu, pasangan terbabit dituduh di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk ke premis atau menulis secara manual pada buku disediakan ketika hadir di kedai karpet di Nilai 3, Nilai pada 2 Mei lalu.

Muhammad Haris didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam, manakala Neelofa pula satu tuduhan tidak membuat aplikasi MySejahtera di premis berkenaan.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah dan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan sebut semula kes pada 4 Jun ini.


Get real time updates directly on you device, subscribe now.