COVID-19: Malaysia rekod kes melebihi 500,000

20

22 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 6,320 kes positif COVID-19 hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangka wabak maut berkenaan di Malaysia sebanyak 505,115 kes, sejak lebih setahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM juga mengesahkan bahawa terdapat 50 lagi kes kematian akibat wabak COVID-19 hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 2,199 kes.

Beliau berkata terdapat 53,682 kes aktif COVID-19 di Malaysia sekarang dengan bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) menjadi 652 kes termasuk 370 daripada memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, tiga ialah kes import dan baki 6,317 kes penularan tempatan yang merangkumi 5,870 warganegara dan 447 warga asing.

DR NOOR HISHAM

“Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi, dengan  1,647 kes, diikuti oleh Sarawak dengan 749 kes, Kuala Lumpur (654), Kelantan (613), Johor (477), Negeri Sembilan (396), Pulau Pinang (359), Kedah (301), Perak (276), Pahang (227), Sabah (189) ), Terengganu (185), Melaka (175), Labuan (36), Putrajaya (18) dan Perlis (18).

“Terdapat 50 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 22 kes di Selangor, sembilan kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lima kes di Johor, empat kes di Kedah, tiga kes di Perak, masing-masing dua kes di Sarawak dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Melaka, dan Kelantan,” katanya dalam sidang media khas bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya menggunakan dua keping pelitup muka serta pelindung muka jika seseorang individu berada di tempat tempat awam sesak dan berisiko tinggi seperti di hospital.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini kerajaan belum mewajibkan pemakaian dua keping pelitup muka kerana ia akan membebankan orang ramai.

“Pemakaian pelitup muka fabrik tidak digalakkan ketika di hospital sebaliknya seseorang perlu memakai pelitup muka perubatan tiga lapis. Pemakaian pelitup muka diwajibkan di tempat awam untuk melindungi diri daripada jangkitan.

“Penggunaan dua keping pelitup muka akan dapat menapis lebih 95 peratus dan ini disarankan terutama di tempat awam berisiko tinggi terutama di hospital,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.