PKP penuh beri impak kepada golongan pekerja

38

21 MEI: Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sepenuhnya atau Total Lockdown” dilihat bukan jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah penularan wabak COVID-19 di Malaysia sekarang.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata PKP sepenuhnya itu bakal memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi khususnya survival golongan pekerja. 

Kamarul Baharin berkata MTUC juga tidak menolak kemungkinan ramai pekerja berisiko kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan jika kerajaan tetap meneruskan niat mahu melaksanakan PKP penuh atau ‘total lockdown’ dalam masa terdekat.

Berikutan itu MTUC berharap kerajaan akan melakukan kajian menyeluruh dan melibatkan semua lementerian yang berkaitan terutamanya dari Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum melaksanakan PKP penuh.

Beliau berkata MTUC juga mencadangkan beberapa langkah agar “Total Lockdown” tidak perlu diperkenalkan antaranya SOP diperketatkan dan lebih jelas dan konsisten. 

“Contohnya, mempertingkatkan lagi sekatan jalanraya yang lebih berkesan di lokasi tertentu dan di “jalan-jalan tikus”.

“Ini dapat membasmi kes jangkitan dari kluster rentas daerah dan negeri,” katanya.

Kamarul berkata kerajaan juga perlu  memperkasakan golongan sukarelawan, Kawasan Rukun Tetanga (KRT), persatuan kebajikan dan mana-mana masyarakat sukarelawan yang ingin menyumbangkan khidmat kerjasama bagi membantu pihak berkuasa.

Beliau berkata operasi sanitasi juga boleh kerap dilakukan di premis kediaman, perniagaan dan tempat awam dalam memastikan rangkaian Covid-19 dapat diputuskan.

“MTUC mencadangkan agar majikan, kesatuan kekerja dan juga kumpulan pekerja (bagi syarikat yang tidak mempunyai Kesatuan Sekerja) mewujudkan satu jawatankuasa kerja khas bagi sama-sama mempertingkatkan tahap kesedaran kesihatan dan mengadakan aktiviti-aktiviti berkaitan agar semua pekerja dapat mematuhi setiap SOP yang diperkenalkan oleh MKN. 

“MTUC juga mencadangkan agar 
sektor dari Bukan Keperluan Utama atau “Non-Essential Services” dapat mengurangkan tenaga kerja mengikut kapasiti dan SOP yang diperkenalkan MKN,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarul berkata jika “total lockdown” dilaksanakan juga, MTUC mencadangkan inisiatif membantu golongan pekerja termasuk moratorium automatik untuk golongan yang terjejas perlu diperkenalkan

Katanya, bantuan kewangan yang lain dan menyeluruh kepada golongan B40 juga perlu diberikan.

“Melindungi ekonomi golongan peniaga kecil dan sederhana supaya mereka dapat meneruskan perniagaan.

“Mempertingkatkan lagi Program Subsidi Upah (PSU) kepada golongan pekerja yang terjejas,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.