Syarat PKP 3.0 lebih ketat diumum esok

280

21 MEI: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebulat suara bersetuju mengetatkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat di negara ini.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan, memaklumkan sidang khas dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, turut memutuskan supaya sekatan lebih ketat dikenakan ke atas sektor ekonomi dan sosial.

“Mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung status terkini kes COVID-19, termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan pandemik terbabit.

“Selain itu, sidang khas berkenaan membincangkan status pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa bagi tempoh empat minggu, bermula 12 Mei 2021,” katanya.

Menurut kenyataan itu, perincian berhubung sekatan tambahan terbabit akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 sudah diperketatkan, termasuk larangan rentas negeri dan daerah, sekatan bagi aktiviti sosial, sukan serta rekreasi dan persidangan serta mesyuarat secara bersemuka.

“Bagaimanapun, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi, menyebabkan usaha melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa lebih panjang,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.