PM adakan perbincangan secara maya bersama wakil sektor industri

81

21 MEI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan secara maya bersama pemimpin industri bagi bertukar pandangan dan idea berhubung keseimbangan antara kawalan COVID-19 serta impak ekonomi.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Mohamed Azmin yang turut menghadiri pertemuan itu, berkata usaha terbabit adalah yang kedua diadakan antara Muhyiddin dengan wakil industri dalam tempoh dua bulan.

Katanya, kekerapan pertemuan itu menunjukkan betapa kerajaan meletakkan kepentingan terhadap peranan utama pihak industri bagi memastikan ekonomi kekal kukuh dalam tempoh sukar ketika ini.

“MITI sentiasa berada di hadapan dalam aspek ekonomi dan mendengar keluhan pihak industri.

“Peranan pemain industri adalah amat penting bagi memastikan kita menang dalam peperangan ini menggunakan kaedah mampan,” katanya menerusi ciapan di Twitter rasminya, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pertemuan antara Perdana Menteri dengan wakil industri hari ini, bermatlamat mencari kaedah meminimumkan impak terhadap ekonomi akibat pelaksanaan kawalan penularan COVID-19 yang semakin memburuk ketika ini.

“Matlamat utama libat urus hari ini adalah untuk bertukar pandangan dan idea bagi mengawal lonjakan COVID-19 dengan berkesan, sambil meminimumkan impak terhadap ekonomi.

“MITI akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kekal teguh dengan pendirian kita untuk membantu pelabur serta pemain industri berdepan cabaran ketika ini,” katanya.

Pertemuan itu diadakan atas permintaan daripada pelbagai pihak, terutama pakar kesihatan, supaya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, sama ada di seluruh negara atau di Kuala Lumpur dan Selangor yang mencatat peningkatan tinggi kes COVID-19. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.