Malaysia terima lebih 1 juta vaksin

38

21 MEI: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengesahkan Malaysia menerima lebih sejuta dos vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca dan Sinovac hari ini, yang menyumbang kepada peningkatan keupayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

CITF dalam satu kenyataan berkata dua penghantaran vaksin AstraZeneca dan CoronaVac (Sinovac Life Sciences Co Ltd) berjumlah 1,059,200 dos, tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, pagi tadi.

“Sebanyak 559,200 dos AstraZeneca daripada tempahan yang dibuat melalui fasiliti COVID-19 Vaccine Global Access (COVAX) tiba di Kuala Lumpur, pada jam 7.50 pagi menerusi penerbangan MH6125.

“Vaksin CoronaVac (Sinovac) pula tiba pada waktu yang sama melalui penerbangan MH361. Sebanyak 500,000 dos dihantar pada hari ini.

“Ketibaan bekalan ini tambahan kepada stok sedia ada, menjadikan jumlah terkini vaksin AstraZeneca yang sudah diterima daripada COVAX ialah 828,000 dos. Stok yang diperolehi sebelum ini sebanyak 268,800 dos,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, CITF memaklumkan, satu lagi penghantaran bekalan vaksin AstraZeneca dijadualkan tiba hujung bulan ini, yang membabitkan sejumlah 559,200 dos.

Katanya, bekalan vaksin AstraZeneca yang diterima sudah dipastikan berkualiti, selamat dan berkesan melalui pematuhan ke atas keperluan Lot Release.

“Vaksin seterusnya akan dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di Lembah Klang serta di tiga lagi negeri lain iaitu Pulau Pinang, Johor dan Sarawak yang baru sahaja menyertai Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca, yang bermula 5 Mei lalu.

“Ini semua adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk menghebatkan lagi proses vaksinasi di bawah PICK, dengan peningkatan pemberian vaksin akan mula disaksikan pada Jun nanti,” katanya.

CITF menegaskan, PICK kini berjalan mengikut perancangan dan kadar vaksinasi ke atas penduduk Malaysia akan terus meningkat sejajar dengan pertambahan bekalan vaksin yang bakal tiba dari semasa ke semasa.

“Pada waktu ini, kadar vaksinasi juga mencatatkan peningkatan yang konsisten, di mana sebanyak 60,261 orang telah menerima vaksinasi mereka pada Isnin lalu, sebelum meningkat kepada 76,551 (Selasa) dan 83,648 (Rabu),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.