Lelaki maut dalam keadaan ngeri, kereta dipanah petir

135

21 MEI: Seorang lelaki menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas sebahagian besar anggota badannya hancur dipercayai kereta dipandunya meletup akibat dipanah petir berhampiran persimpangan lampu isyarat di Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan, petang tadi.

Kejadian yang dikatakan berlaku sekitar kira-kira jam 5.30 petang itu turut menyebabkan kereta jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa terbakar dan terputus dua.

Difahamkan, kejadian itu turut menyebabkan beberapa pengguna jalan raya lain yang melalui kawasan terbabit mengalami kecederaan.

Kejadian itu juga menyebabkan lima kenderaan lain dan bangunan berhampiran termasuk sebuah masjid dan sekolah mengalami kerosakan teruk.

Difahamkan, sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang berada di lokasi kejadian turut menemui serpihan mercun di lokasi berkenaan.

Video lokasi dan kesan letupan itu dikongsi pelbagai pihak di laman sosial dan Facebook sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan pengguna media sosial lain.

Turut dikongsi di media sosial adalah gambar dua lelaki dipercayai mangsa letupan dan gambar mercun bola dipercayai ada kaitan dengan letupan tersebut.

Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu ketika dihubungi mengesahkan seorang mangsa meninggal dunia, manakala beberapa individu lain mengalami kecederaan akibat kejadian letupan terbabit.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan siasatan kes diserahkan kepada pihak polis,” katanya yang meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubungan kejadian itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.