Beri kebenaran pekerja bekerja dari rumah-KP Kesihatan

75

21 MEI : Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru majikan agar memberi kebenaran kepada pekerja masing-masing untuk bekerja dari rumah (BDR) ekoran peningkatan jangkitan COVID-19 yang hampir mencecah 7,000 kes semalam.

Menurut kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook rasmk beliau, majikan boleh menghadkan pekerja yang hadir ke pejabat dalam satu-satu masa.

“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” ujarnya melalui hantaran terbaharu hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham turut memberitahu bahawa penggunaan katil untuk pesakit unit rawatan rapi (ICU) kini sudah mencecah hampir 85 peratus.

“Pada 20 Mei 2021, kadar penggunaan katil ICU COVID-19 secara keseluruhannya di seluruh negara telah mencapai 83%.

“Lakukanlah kawalan pergerakan kendiri dengan kekal duduk di rumah. Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada SOP,” katanya lagi.

Semalam, negara merekodkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi sepanjang pandemik iaitu sebanyak 6,806 kes dan 59 kes kematian.

Susulan peningkatan kes sejak kebelakangan ini, kerajaan akan mengadakan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berbincang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di mana keputusannya dijangka akan diketahui hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.