Kon Yeow mohon maaf isu sumbangan vaksin

84

21 MEI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, hari ini, mengikut jejak langkah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memohon maaf kepada semua pihak kerana mencetuskan kontroversi berhubung sumbangan vaksin COVID-19 untuk rakyat negeri ini daripada sebuah syarikat swasta.

Kon Yeow berkata beliau melihat kontroversi berkenaan sebagai suatu perkembangan yang amat malang kerana bukan menjadi hasrat kerajaan negeri untuk berperang mulut dengan mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, isu tawaran sumbangan dua juta dos vaksin COVID-19 kepada Pulau Pinang menjadi satu kontroversi yang menyimpang daripada tujuan asal pihak kerajaan negeri membangkitkan perkara berkenaan pada sidang media sebelum ini.

“Matlamat utama ketika ini adalah mendapatkan bekalan vaksin tambahan pada kadar segera berikutan peningkatan mendadak kes bagi memastikan kadar vaksinasi boleh dipercepatkan demi melindungi nyawa serta menyelamatkan ekonomi rakyat negeri ini secara keseluruhan.

“Oleh itu, saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf kerana tercetusnya kontroversi ini dan berharap kita akan meneruskan segala usaha dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 seterusnya demi kebaikan seluruh rakyat di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada sidang medianya Selasa lalu, Kon Yeow melahirkan rasa kesal dengan sikap Putrajaya dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikatakan menghalang sebuah syarikat swasta berpangkalan di Hong Kong untuk mendermakan dua juta dos vaksin Sinovac untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang.

Berikutan itu, Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, tampil menafikan dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan menghalang Pulau Pinang menerima dua juta dos vaksin Sinovac yang mahu didermakan oleh sebuah syarikat swasta.

Malah, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata Sinovac mengesahkan tiada apa-apa bukti atau dokumen mahupun permohonan diterima daripada mana-mana wakil syarikat terbabit berhubung sumbang vaksin dimaksudkan.

Khairy juga menjelaskan wanita yang dinamakan sebagai pegawai jualan antarabangsa iaitu Miss Coco Chan dalam surat terbabit mengesahkan bahawa beliau tidak mengendalikan urus niaga Sinovac bagi pasaran Asia dan menafikan pernah dihubungi bagi tujuan sumbangan dimaksudkan.

Sementara itu, Kon Yeow berkata beliau juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung urusan siasatan kelak.

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa tujuan utama beliau membangkitkan isu berkenaan sebelum ini adalah perolehan bekalan vaksin untuk rakyat Pulau Pinang.

Berikutan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang yang bersidang kelmarin memutuskan untuk memberi tumpuan terhadap pendekatan terbaik dalam memperoleh bekalan vaksin pada tempoh masa terdekat sebagai memenuhi permintaan rakyat negeri ini untuk menerima vaksin dengan kadar segera.

“MMK memutuskan menggunakan dana kerajaan negeri bagi membeli vaksin tambahan untuk dihantar segera selain yang bakal dibekalkan oleh Kerajaan Persekutuan demi kepentingan serta kegunaan rakyat negeri Pulau Pinang.

“Bagi tujuan itu, saya juga menghantar surat kepada Khairy hari ini untuk mendapatkan kebenaran pembelian vaksin secara terus oleh kerajaan negeri daripada syarikat pembekal yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam negara ataupun secara langsung daripada syarikat pengeluar vaksin,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.