EXCO Selangor langgar SOP PKP Aidilfitri mohon maaf

59

21 MEI: EXCO Selangor, Borhan Aman Shah tampil mengakui kesilapannya dan memohon maaf berhubung dakwaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menganjurkan sambutan dan ziarah Aidilfitri.

Beliau turut menyatakan kekesalan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu, selain memaklumkan sudah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis atas dakwaan terbabit.

“Merujuk kepada tersebarnya gambar saya di media sosial bersama tetamu yang singgah berziarah di rumah saya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, saya pada Khamis, 20 Mei (semalam) sudah pun memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

“Saya dengan ini ingin menyatakan kekesalan yang mendalam atas perkara ini dan saya berjanji bahawa perkara seumpama ini tidak akan berulang.

“Saya ingin memohon ampun dan maaf kepada semua pihak di atas kesalahan ini dan mengakui kesilapan serta akan mengambil sepenuh tanggungjawab berhubung perkara berkenaan,” katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Sebelum ini, tular gambar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat itu bersama tetamu yang mengadakan aktiviti ziarah di rumahnya, menerusi ciapan di Twitter berserta kapsyen ‘Satu lagi kes perlanggaran SOP melibatkan kluster kayangan.. tarikh dan masa dah terpampang kat gambar-gambar tu’.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat itu kerana didakwa tidak mematuhi SOP PKP apabila menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri di kediamannya di Tanjung Sepat, Kuala Langat, baru-baru ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.