32 hospital catat penggunaan katil ICU lebih 70 peratus

20

21 MEI: Sebanyak 11 negeri dan wilayah di negara ini, merekodkan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang tinggi melebihi 70 peratus bagi pesakit kes COVID-19, setakat semalam.

Menerusi data dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM), negeri itu adalah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah, Sarawak, Putrajaya, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

Lebih membimbangkan, sebanyak 32 hospital kerajaan di seluruh negara, turut menunjukkan kadar penggunaan katil di

ICU yang tinggi melebihi 70 peratus bagi pesakit pandemik terbabit.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat penggunaan katil di ICU di seluruh negara, mencapai kapasiti 83 peratus sehingga 20 Mei 2021.

Katanya, keadaan itu menyaksikan sistem kesihatan negara berdepan tekanan amat besar dan memerlukan bantuan semua pihak bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Lakukanlah kawalan pergerakan kendiri dengan kekal duduk di rumah.

“Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Majikan diseru memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan mengehadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa,” katanya.

Kes COVID-19 semalam mencatatkan peningkatan apabila merekodkan sebanyak 6,806 kes baharu dan 59 kematian, sekali gus menyaksikan kedua-dua angka itu adalah tertinggi sejak pandemik terbabit melanda negara. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.