‘Smart PKP’ lebih baik untuk ekonomi berbanding PKP Penuh

178

20 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pintar atau ‘Smart PKP’ lebih sesuai dilaksanakan ketika ini bagi memastikan ekonomi mampu bergerak lancar dan penularan jangkitan COVID-19 dapat dibendung.

Bagi Pakar Ekonomi, Prof Dr Shazali Abu Mansor, pelaksanaan ‘Smart PKP’ akan memberi kesan lebih baik kepada ekonomi dan individu, berbanding PKP penuh.

Namun, katanya, dalam aspek membabitkan keperluan kesihatan, ’Smart PKP” perlu dilaksanakan mengikut arahan dan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana pihak itu memiliki kepakaran berkaitan.

“Daripada segi ekonomi, saya melihat sekiranya dilaksanakan PKP penuh sehingga katakan petani, nelayan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijalankan di rumah pun dikenakan arahan sama walaupun tidak berisiko, tidak wajarlah, malah mungkin  dia duduk rumah lebih membahayakan keadaan.

“Apa sesuai dilakukan adalah ‘Smart PKP’, iaitu mana perniagaan atau pekerjaan yang tidak berisiko, kita biar beroperasi seperti biasa.

“Jika KKM melihat ada keperluan menutup pusat beli belah misalnya kerana wujud risiko, keputusan itu tidak perlu dipertikai kerana mereka lebih mengetahuinya, kita jangan masuk campur hal kesihatan,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC, hari ini.

Ditanya adakah kerajaan perlu membantu golongan terjejas, antaranya peniaga kecil sekiranya ‘Smart PKP’ dilaksanakan, Shazali berkata perkara itu patut dilakukan.

“Saya rasa dalam tempoh PKP yang menjejaskan pendapatan pihak tertentu, seperti mereka yang gaji hari atau tidak dapat bekerja, golongan ini patut dibantu,” katanya yang juga Pakar Ekonomi Anjung Asia E University.

Sementara itu, Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU) – Malaysia (EuroCham Malaysia), meminta kerajaan tidak melaksanakan PKP penuh, memandangkan masih banyak perniagaan baharu pulih daripada PKP pertama.

Pengerusinya, Oliver Roche berkata, pihaknya berpendapat pelaksanaan PKP penuh mungkin menghalang pemulihan ekonomi Malaysia dan mempengaruhi kelestarian sosial.

Katanya, ketika ini banyak perniagaan sedang menyusun semula strategi dan pulih daripada kesan PKP pada tahun lalu yang menyaksikan banyak cabaran dihadapi pihak itu, terutama membabitkan kewangan besar, cabaran logistik serta gangguan rantaian bekalan.

“Banyak perniagaan, termasuk komuniti perniagaan Eropah di Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP ditetapkan kerajaan dan mengambil langkah lebih ketat bagi memastikan kesihatan serta keselamatan pekerja terjamin, walaupun mengalami kerugian.

“Pada pendapat kami, lebih baik kerajaan menyediakan SOP lebih ketat kepada industri terbabit, berbanding pelaksanaan PKP penuh kerana pendekatan ini akan mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat, selain membolehkan perniagaan terus membangun,” katanya.

Eurocham Malaysia berkata, sekiranya terpaksa dilakukan PKP penuh, arahan itu harus disasarkan hanya kepada zon merah tertentu dan harus fokus pada jangkitan masyarakat.

“Pendekatan ini harus disertai dengan keupayaan melakukan ujian saringan COVID-19 berskala besar, vaksinasi dan program sokongan kewangan komprehensif.

“Jika kerajaan berdepan masalah untuk memberi bantuan kewangan, kami khuatir perkara ini akan memberi kesan besar dan berpanjangan terhadap ekonomi Malaysia serta kemampuannya untuk menarik pelaburan langsung asing,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.