Siasat dakwaan KM Pulau Pinang berhubung isu vaksin- Razlan

26

20 MEI : Kementerian Dalam Negeri perlu melakukan siasatan teliti terhadap dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menuduh Putrajaya menolak pemberian dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma kepada negeri itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Razlan Rafii berkata, siasatan perlu dilakukan bagi mengetahui niat buruk Ahli Parlimen Tanjong itu sehingga mahu mewujudkan suasana tidak yakin kepada kerajaan.

“Saya juga meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengkaji bidang kuasa dan fungsi darurat yang boleh diambil tindakan terhadap gerakan propaganda Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Kerajaan tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan seorang ketua negeri mewujudkan kacau bilau terhadap kerajaan, lebih-lebih lagi sekarang waktu yang amat kronik dengan kes mencecah angka 6,000. Justeru, setiap kementerian buat kerja, bukan sekadar berpeluk tubuh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Justeru, diharapkan kerajaan dapat melaksanakan siasatan terhadap dakwaan penipuan itu kerana jika rakyat biasa membuat dakwaan seperti itu, sudah pasti akan ditangkap dan dipanggil untuk disoal siasat.

“Namun, ia bukan untuk seorang Ketua Menteri DAP walaupun dari segi impak, semua lebih maklum bahawa ia lebih besar dan mendapat liputan seluruh negara.

“Lim Guan Eng memaki Menteri Perikatan Nasional (PN) dengan ayat ‘kepala otak dia’ dan menuduh kerajaan PN melakukan Jenayah,” katanya. 

Terdahulu, Chow mendedahkan Pulau Pinang ditawarkan vaksin Sinovac secara percuma Februari lalu, tetapi tidak dapat menerimanya kerana dihalang Putrajaya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menulis surat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meminta kebenaran menggunakan vaksin itu, tetapi ditolak Putrajaya yang meminta Pulau Pinang menunggu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan.

Walau bagaimanapun, Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, menafikan Kerajaan Persekutuan menghalang Pulau Pinang menerima dua juta dos vaksin Sinovac yang mahu didermakan oleh sebuah syarikat swasta.

Ahli Parlimen Rembau itu, menjelaskan bahawa beliau memang ada menerima satu salinan surat yang dimaksudkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bertarikh 1 Februari 2021 dan ditulis oleh individu bernama Yong Chee Kong beralamat di Kota Kinabalu, Sabah mengenai sumbangan pembelian untuk membeli vaksin COVID-19 untuk kerajaan negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau juga telah melakukan carian syarikat berkenaan mengikut ejaan dalam salinan surat diterimanya dan mendapati entiti perniagaan itu sebenarnya tidak wujud.

Tambah Khairy lagi kakitangan MOSTI juga memaklumkan bahawa beliau turut menerima satu salinan surat dari syarikat sama kononnya mereka mahu menyumbang sebanyak dua juta dos vaksin untuk negeri Sabah pada 9 Februari 2021.

Berikutan itu, kakitangan MOSTI merujuk perkara berkenaan kepada Sinovac dan mendapati bahawa tawaran derma 2 juta dos vaksin berkenaan adalah tidak betul.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.