PKPD 28 kawasan babit enam negeri

84

20 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di 15 mukim di Besut, Terengganu selama 14 hari, bermula esok.

Mukim itu adalah, Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata pelaksanaan itu dikenakan susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan, sembilan daripada 17 kluster aktif di Terengganu adalah membabitkan Besut dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti. 

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di 15 mukim seperti dinyatakan bermula dari 22 Mei sehingga 4 Jun 2021.

“PKPD ini bagi mengawal pergerakan penduduk di kesemua mukim, seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” katanya berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD juga dilaksanakan di empat mukim di Perak, iaitu Pengkalan Hulu yang membabitkan Daerah Hulu Perak, Taiping (Daerah Larut, Matang dan Selama, Hulu Kinta merangkumi Ipoh, Lahat,
Chemor dan Tanjong Rambutan (Daerah Kinta) serta Hulu Bernam Timur (Daerah Muallim selama dua minggu, bermula lusa.

“Berlaku peningkatan kes sebanyak 119.3% di seluruh negeri Perak, seperti disahkan KKM bagi tempoh 14 hari, iaitu 5 Mei sehingga 18 Mei 2021 dengan 2,035 kes, berbanding 928 kes direkodkan pada 12 April sehingga 4 Mei 2021, malah pertambahan ini turut membabitkan keempat-empat mukim berkenaan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di keempat-empat mukim seperti dinyatakan bermula 22 Mei sehingga 4 Jun 2021.

“PKPD ini bagi mengawal pergerakan penduduk di kesemua mukim, seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD dilaksanakan di Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang selama 14 hari, bermula lusa.

“Sebanyak lapan kes positif direkodkan KKM hasil daripada 22 hasil ujian saringan bergejala dijalankan dengan kadar positiviti 36.36 peratus,” ujarnya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD turut dikenakan di Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan selama dua minggu berkuat kuasa 22 Mei sehingga 4 Jun 2021.

Sehingga kini, katanya, KKM menjalankan 154 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 48 kes positif direkodkan. 

Katanya, KKM mendapati berlaku peningkatan kes positif hasil saringan individu bergejala dan kontak rapat, selain kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti terbabit.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, arahan PKPD juga dikenakan di Kampung Idani, Semporna, Sabah selama 14 hari, juga berkuat kuasa 22 Mei sehingga 4 Jun 2021.

“Sebanyak 16 ujian saringan dijalankan KKM dan daripada jumlah itu, sembilan kes positif direkodkan. 

“KKM memaklumkan kadar positiviti adalah 56.25 peratus dan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti terbabit,” jelasnya.

Menerusi kenyataan sama, Ismail Sabri berkata, PKPD juga turut dilaksanakan di Kampung Pisang, Tawau, Sabah selama dua minggu, bermula lusa.

Jelasnya, sehingga 19 Mei 2021, KKM merekodkan tujuh kes positif COVID-19 daripada lapan ujian saringan dijalankan ke atas penduduk di lokaliti itu, manakala susulan penularan kes di situ, kadar positiviti dan kadar kebolehjangkitan didapati tinggi, iaitu 87.5 peratus. 

Menyentuh kawasan lain yang dilaksanakan PKPD di Sabah, Ismail Sabri berkata, tiga lokaliti di negeri itu, iaitu Kampung Getah, Kampung Getah Tengah & Taman Kunak Jaya, Kunak turut dikenakan arahan sama selama 14 hari, bermula 22 Mei ini.

“Peningkatan kes secara ketara disahkan berlaku dalam masa singkat membabitkan ketiga-tiga lokaliti dengan sebanyak 12 kes positif direkodkan hasil daripada 41 ujian saringan dijalankan KKM,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut perkembangan terkini COVID-19, Ismail Sabri berkata, PKPD  turut dikenakan di Kampung Boyan, Kuching, Sarawak selama dua minggu, bermula lusa.

Menurutnya, kampung tersebut dikenakan PKPD  kerana berlaku peningkatan mendadak di lokaliti terbabit apabila sebanyak 34 kes positif direkodkan hasil daripada 171 ujian saringan dijalankan KKM.

Selain itu, Ismail berkata PKPD juga dilaksanakan di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan selama 14 hari, bermula lusa.

Sebanyak 22 kes positif, katanya, direkodkan hasil daripada 80 ujian saringan dijalankan KKM membabitkan empat lokaliti, iaitu Teluk Renjuna dengan 11 kes, Pantai Haji Nik Mat (6), Pulau Beluru (4) dan Pantai Suri (1). 

“Manakala, berlaku peningkatan kes ketara dalam tempoh singkat dengan kadar positiviti direkodkan adalah 27.5 peratus,” ujarnya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.