Pelancong Kedah pergi Genting Highlands ikut SOP – Nancy

82

20 MEI: Aktiviti pelancongan membabitkan sekumpulan pelancong dari Alor Setar, Kedah ke Genting Highlands, Pahang pada 22 April lalu, adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukry.

Nancy  berkata, siasatan awal MOTAC mendapati, kumpulan itu mematuhi gelembung pergerakan pelancongan bersasar domestik yang ditetapkan kementerian.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diperoleh, rombongan disertai 28 pelancong itu dikendalikan sebuah syarikat pelancongan yang berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Dua bas persiaran digunakan pada 22 April lalu untuk ke lokasi dan pulang pada 24 April lalu. Selepas kembali dari Genting Highlands terdapat penumpang yang mengalami gejala demam dan telah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan.

“Pada 7 Mei lalu, seramai 16 individu disahkan positif daripada saringan yang dilakukan ke atas kumpulan pelancong tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata Kementerian Kesihatan masih menjalankan siasatan untu mengenal pasti punca sebenar jangkitan dan kontak rapat dengan kes terbabit.

Dalam pada itu, Nancy mengingatkan semua agensi pengendali pelancong serta kenderaan pelancongan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan ketika mengendalikan aktiviti pelancongan.

“Orang ramai juga diingatkan supaya hanya menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan dan syarikat kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC sahaja bagi memastikan perkhidmatan yang diperoleh adalah yang terbaik dan selamat.

“Buat masa ini, gelembung pergerakan pelancongan bersasar domestik digantung buat sementara bermula 4 Mei lalu sehingga dimaklumkan kelak.

“Kami berharap agar penjelasan ini dapat mengelakkan kekeliruan dan spekulasi yang
tidak benar berhubung insiden tersebut,” katanya.

Katanya, beliau juga berharap insiden itu tidak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan dalam sebarang aktiviti pelancongan dalam negara.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah memaklumkan seramai 16 individu disahkan positif COVID-19 selepas ujian dilakukan ke atas 28 pelancong.


Get real time updates directly on you device, subscribe now.