OIC perlu gandakan usaha bantu Palestin hadapi kekejaman Zionis-PAS

26

20 MEI: Majlis Syura Ulamak PAS selari dengan pendirian rasmi kerajaan Malaysia menegaskan bahawa Israel yang
dikuasai oleh Zionis Yahudi adalah kerajaan haram yang dibina di atas bumi dan negara Palestin yang dirampas sejak 1984.

Setiausaha Majlis Syura PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kesan pencerobohan Zionis Yahudi ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa ratusan ribu rakyat Palestin manakala jutaan mereka terusir keluar daripada negara sendiri dan menimbulkan konflik berpanjangan di rantau tersebut.

Khairuddin berkata tindakan Zionis Yahudi di negara haram Israel menyerang, membunuh dan merampas bumi umat Islam Palestin adalah sebenar-benar keganasan yang layak untuk pelakunya digelar sebagai pengganas dan terrorist serta merupakan jenayah antarabangsa yang perlu disekat dan dihalang oleh dunia dengan apa cara yang ada.

“Sebarang penentangan oleh rakyat Palestin terhadap pencerobohan Zionis Yahudi demi mempertahankan tanah air, nyawa, kehormatan dan harta benda mereka adalah perjuangan yang menepati hak asasi rakyat yang dizalimi.

“Sebarang usaha normalisasi dengan Zionis Yahudi dan kerajaan haram Israel yang merupakan talian hayat kepada rejim penjajah ini perlu ditolak dan disanggah dengan tegas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Khairuddin berkata kesatuan dan perpaduan umat Islam dengan pelbagai aliran dan mazhab serta gabung jalin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkukuhkan dalam menghadapi kezaliman Zionis Yahudi.

“Umat Islam dan masyarakat seluruh dunia diseru bersama membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka di bumi yang dijajah dan dirampas oleh Zionis Yahudi dengan pelbagai cara sama ada menerusi kuasa politik dan suara diplomatik di peringkat antarabangsa mahupun kuasa ekonomi melibatkan harta benda dan sebagainya,” katanya.

Berikutan itu, PAS mendesak Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) untuk menggandakan peranan menggembleng tenaga umat Islam bagi memperjuangkan perlindungan antarabangsa kepada warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat sekaligus menolak sebarang ancaman daripada serangan serta gerakan penjajahan rejim Zionis Israel.

“Seluruh umat Islam diseru untuk sentiasa melakukan Qunut Nazilah memohon keselamatan untuk umat Islam Palestin,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.