MKN ambil alih sepenuhnya UTM Skudai

114

20 MEI: Kawalan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor Bahru akan diambil alih sepenuhnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula esok sehingga 3 Jun, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di kampus itu.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata segala keperluan asas dan kebajikan seluruh warga kampus universiti awam itu akan diuruskan MKN, termasuk makanan dan keperluan, terutama membabitkan pelajar di kolej kediaman.

“PKPD adalah tindakan terbaik bagi mengekang penularan COVID-19 daripada terus merebak, sekali gus memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan sanitasi dan pengesanan kontak terhadap kes dilaporkan di kampus.

“Namun, pengurusan universiti masih menjadi pemegang amanah utama terhadap kebajikan dan kesejahteraan seluruh warga kampus, malah segala keperluan serta kebajikan warga kampus akan dipastikan terjaga dan terjamin,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Ahmad Fauzi berkata, universiti itu juga akan menggerakkan bantuan secara berterusan kepada warga kampus yang terkesan.

Beliau turut menasihati seluruh warga universiti berkenaan agar kekal tenang, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN dan KKM, selain tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung penularan jangkitan COVID-19.

Sementara itu, UTM menerusi kenyataannya, memaklumkan semua operasi fizikal di kampus universiti berkenaan di Johor Bahru tidak dibenarkan dan kakitangannya diminta Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh PKPD, kecuali petugas Pusat Kesihatan Universiti.

“Pintu pagar utama hanya akan dibuka sehingga 5 petang hari ini untuk sebarang urusan penutupan pejabat, cuma pintu pagar utama universiti, iaitu Pintu 1 digunakan sepanjang PKPD dan perkhidmatan penghantaran makanan, kafeteria serta kedai di dalam kampus dibenarkan sehingga 10 malam nanti sahaja.

“Kesemua pelajar tidak dibenarkan keluar dari kampus berkuat kuasa serta merta dan kakitangan bertugas dalam perkhidmatan diperlukan, mesti tinggal di dalam kampus selama tempoh PKPD,” menurut kenyataan itu.

UTM turut memaklumkan kawalan pergerakan bagi Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dan Kolej Tun Hussien Onn (KTHO) dilanjutkan hingga hari ini, namun bermula esok sehingga 3 Jun, keseluruhan kampus UTM Johor Bahru adalah tertakluk kepada arahan PKPD di bawah MKN.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD akan dilaksanakan di kampus berkenaan mulai esok sehingga 3 Jun berikutan 49 kes positif COVID-19 direkodkan setakat ini hasil daripada 346 ujian saringan dijalankan KKM ke atas penghuni KDSE, KTHO, KTDI, Kolej 9 dan 10 serta Pusat Kesihatan kampus itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.