Johor bincang isu COVID-19 minggu depan

32

20 MEI: Kerajaan Johor akan mengadakan perbincangan minggu depan bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk membendung penularan COVID-19 di negeri itu.

Perbincangan itu diadakan berikutan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini yang mahu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor mencari penyelesaian terbaik kes penularan COVID-19 di negeri itu yang tinggi.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, berkata kerajaan negeri memberi jaminan perkara dibincangkan itu nanti akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

HASNI

“Patik menjunjung kasih di atas keprihatinan Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan semua Ahli Parlimen dan ADUN di negeri ini, mengadakan perbincangan berhubung kebajikan rakyat Johor.

“Perbincangan bakal diadakan minggu depan ini akan lebih memperkukuh dan menambah baik segala usaha sudah serta bakal diambil Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk membendung COVID-19,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menyeru perbincangan secara mesyuarat perlu diadakan dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk membendung penularan COVID-19 di negeri itu.

Dalam pada itu, berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, Hasni berkata, perkara itu antara cadangan dikemukakannya kepada kerajaan Persekutuan susulan jumlah kes COVID yang meningkat di negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga ketika ini, sedang berbincang untuk melaksanakan satu pakej rangsangan baharu buat rakyat Johor.

“Terima kasih kerana ‘tweet’ saya. Suara Johor selalu dibawa ke Persekutuan, termasuk ‘lockdown’ dan sebagainya.

“Kita pilih mana yang terbaik,” katanya di Twitter, hari ini.

Johor mencatatkan kes harian tertinggi selepas Selangor dan hari ini negeri itu merekodkan sebanyak 615 kes baharu dengan menyaksikan Johor Bahru sebagai daerah paling teruk terjejas apabila semua mukim di situ dikategorikan sebagai zon merah.

Sejak malam tadi, Twitter Hasni dihujani mesej warganet yang menyuarakan kebimbangan dan pandangan susulan peningkatan kes di negeri itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.