Hospital swasta bersiap sedia terima pesakit COVID-19

337

20 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, meminta semua hospital swasta bersiap sedia untuk hadapi kemungkinan berlaku kadar peningkatan kes COVID-19 secara mendadak, dalam masa terdekat.

Dr Noor Hisham berkata langkah berkenaan perlu berikutan peningkatan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital kerajaan di seluruh negara, sejak kebelakangan ini.

“Kadar penggunaan katil di ICU di hospital di bawah KKM (Kementerian Kesihatan) kini meningkat melebihi 70 peratus dan di Wilayah Tengah telah melebihi 100 peratus.

“Kadar kes positif harian menunjukkan peningkatan sebanyak sebanyak 19.1 peratus berbanding sebelum PKP 3.0. Bilangan kes harian kini masih tinggi tanpa menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat,” katanya dalam satu ciapan menerusi akaun Twitternya hari ini.

Salinan surat berkenaan diciap di akaun Twitter Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sebelum diulang ciap di Twitter KKM.

Dalam kenyataan media berasingan menerusi laman web rasminya Dr Noor Hisham mengesahkan jumlah pesakit COVID-19 dirawat di wad ICU di seluruh negara kini mencecah 587 orang termasuk 330 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata setiap hospital swasta yang sedang merawat pesakit COVID-19 perlu meningkatkan lebih banyak katil untuk merawat pesakit COVID-19.

Dr Noor Hisham dalam masa sama menyedari akan keadaan di hospital swasta yang turut mengalami lambakan pesakit COVID-19.

Bagaimanapun, katanya KKM ketika ini memerlukan kerjasama daripada hospital swasta bagi berdepan sebarang kemungkinan dan situasi luar jangkaan.

“Bilangan maksimum katil yang boleh diagihkan untuk pesakit COVID-19 adalah berdasarkan kapasiti katil wad dan ICU yang dilesenkan.

“Namun peningkatan agihan tersebut perlu berdasarkan kemampuan hospital swasta tersebut tanpa menjejaskan kualiti jagaan kesihatan kesihatan pesakit,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.