Polis siasat EXCO Selangor anjur majlis sambutan hari raya

99

20 MEI: Polis menyiasat seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor atas dakwaan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengadakan majlis sambutan hari raya di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, perkara itu dikesan pihaknya kira-kira jam 5.45 petang Khamis selepas ia tular di Twitter.

“Gambar itu dimuat naik @SuzieMusa yang mendakwa terdapat seorang Yang Berhormat (YB) bertaraf Exco di Selangor berada dalam satu majlis sambutan hari raya di rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

“Susulan itu, satu laporan telah dibuat dan siasatan telah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A) 225/2021].

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim dikenakan kompaun RM2,000 kerana menerima tetamu pada pagi Aidilfitri.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu dikenakan tindakan kompaun hari ini kerana melanggar SOP PKP berkaitan larangan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.

Beliau bersama jirannya dipanggil memberi keterangan oleh polis selepas kehadiran tetamu itu di kediaman wakil rakyat terbabit tular di Facebook.

Dalam pada itu, satu laporan polis juga dibuat terhadap ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse kerana dikatakan melanggar SOP dengan berkunjung ke rumah Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR, di Johor baru-baru ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.