Cadangan laksana PKP penuh akan dibincang esok

82

20 MEI: Keputusan sama ada Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau tidak akan dibincangkan dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Itu antara langkah-langkah yang perlu difikirkan pihak berkuasa khususnya MKN kerana itu sahaja pilihan yang ada.

“Selama ini, kita telah melaksanakan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sebagainya sama ada secara keseluruhan atau bersasar.

“Untuk itu, ‘lockdown’ mungkin akan dibincangkan dalam mesyuarat esok (Jumaat) melibatkan kehadiran perdana menteri dan semua menteri-menteri yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob di Kompleks Kota Darulnaim, di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Takiyuddin mengulas mengenai cadangan pelbagai pihak supaya kerajaan melaksanakan PKP penuh berikutan peningkatan jangkitan kes COVID-19, sejak bulan Ramadan lalu.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kerajaan juga sedang berusaha sedaya upaya merancakkan lagi kesedaran masyarakat untuk mengambil vaksinasi melalui program yang telah dilaksanakan.

Malah, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata kerajaan memberi tumpuan penuh untuk memastikan rawatan dan pencegahan jangkitan pandemik tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Kita ambil langkah serius yang mungkin, perkara yang tidak perlu diberikan keutamaan, kita tangguh dulu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.