Boikot Coca-Cola, ramai akan terjejas

46

20 MEI: Isu boikot jenama minuman Coca-Cola di Malaysia bukan sahaja menjejaskan syarikat berkenaan malah ribuan pekerja, peruncit, pengedar dan dan pembekal.

Coca-Cola Malaysia berkata, walaupun Coca-Cola adalah jenama global, namun semua operasi pembotolan menggunakan sumber tempatan.

“Coca-Cola diproses dan dibotolkan di Malaysia, untuk rakyat Malaysia dan dilakukan oleh rakyat Malaysia.

“Untuk makluman Coca-Cola juga telah beroperasi lebih daripada 85 tahun di negara ini dan telah menjadi keutamaan kami untuk terus komited dalam membantu rakyat Malaysia dari segi bantuan sosial dan lain-lain,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan semalam.

Baru-baru ini tular di media sosial tindakan pihak yang menyeru masyarakat di negara ini memboikot minuman tersebut yang dikatakan menyalurkan sumbangan kepada Israel.

Mengulas lanjut katanya, syarikat Coca-Cola beroperasi di lebih dari 200 buah negara dan wilayah di seluruh dunia dengan sistem politik, agama dan sejarah yang berbeza.

“Coca-Cola beroperasi di 14 pasaran di Asia Barat dan enam lagi di kawasan Afrika Utara.

“Coca-Cola dan syarikat pembotolan NBC tempatan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pasaran Palestin yang bermula sejak dari 1998.

“Kini, Coca-Cola merupakan antara pengusaha terbesar di rantau tersebut,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu menjelaskan, Coca-Cola Malaysia prihatin terhadap pergolakan yang berlaku di antara Israel dan Gaza dan kesannya terhadap penduduk di rantau Asia Barat.

“Matlamat kami adalah untuk memberi kesegaran kepada semua lapisan masyarakat melalui produk minuman yang dikeluarkan.

“Kami tidak menyokong atau menentang mana-mana tujuan berkaitan agama, mahupun memihak kepada mana-mana negara lebih daripada yang lain di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.