Bekas juruterbang sifatkan Israel pertubuhan pengganas

75

20 MEI: Bekas juruterbang Tentera Udara rejim Zionis, Yonata Shapira menegaskan bahawa kerajaan haram Israel dan para komandernya adalah penjenayah-penjenayah perang.

Kenyataan keras dan tegasnya itu didedahkan dalam satu wawancara bersama agensi berita Anadolu Agency baru-baru ini berdasarkan pengalamannya menyertai perkhidmatan Tentera Israel sebelum ini.

Bekas juruterbang tersebut turut menceritakan ketika itu dia merupakan sebahagian daripada anggota sebuah pertubuhan pengganas kerana menyerang penduduk Palestin.

Menurutnya, beliau menyedari Israel melakukan jenayah perang semasa berlakunya kebangkitan penduduk Palestin atau intifadah kedua bagi menentang penjajahan rejim Zionis pada tahun 2000 hingga 2005.

SHAPIRA

Ujarnya, juruterbang-juruterbang itu menggugurkan misil-misil dan peluru-peluru berpandu di bandar-bandar Palestin.

“Saya menyedari tindakan tersebut merupakan satu jenayah perang. Saya akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan perkhidmatan tentera Israel.

“Pada masa sama, saya juga meminta beberapa juruterbang lain supaya tidak mengambil bahagian dalam jenayah perang tersebut,” katanya yang tidak bersedia menjadi sebahagian dalam jenayah itu.

Menurutnya di Israel, kanak-kanak telah diajar tentang pendidikan ketenteraan rejim Zionism tetapi mereka tidak mengetahui semua perkara tentang Palestin seperti peristiwa Nakba pada tahun 1948 atau penyingkiran lebih 700,000 penduduk Palestin dari negara haram Israel dalam perang Palestin.

Semasa berkhidmat dengan Tentera Israel, Shapira turut melancarkan satu kempen mengajak anggota-anggota tentera rejim Zionis untuk tidak mematuhi arahan membedil penduduk Palestin.

Tindakan itu, tambahnya, menyebabkan beliau dan 27 juruterbang pesawat telah ditamatkan jawatan daripada Tentera Udara Israel sejak tahun 2003.

Lebih teruk, Shapira turut dipecat daripada semua jawatan di syarikat-syarikat swasta yang disertainya selepas penamatan perkhidmatannya itu.

Ini adalah kerana beliau menyertai tunjuk-tunjuk perasaan bagi menyokong hak-hak penduduk Palestin dan memberikan syarahan di kebanyakan negara di dunia tentang kekejaman Israel disebabkan Shapira merupakan anggota Pergerakan Boikot, Sekatan dan Nyahlabur Israel.

Justeru, katanya, beliau terpaksa berpindah ke Norway dan meneruskan kelangsungan hidupnya di negara tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.