6.4 juta lelaki dewasa di Malaysia hidap hipertensi

26

20 MEI: Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan 6.4 juta orang dewasa di negara ini menghadapi masalah hipertensi,

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan tersebut membimbangkan malah, dianggarkan lebih 50 peratus individu berkenaan tidak mengetahui diri mereka menghidap penyakit hipertensi.

DR NOOR HISHAM

“Pengambilan alkohol secara berlebihan adalah dikaitkan dengan penyakit hipertensi. Kita juga perlu mengurus dan menangani stres dengan baik secara tidak langsung mengurangkan tekanan darah tinggi seterusnya mencegah komplikasi.

“Rakyat Malaysia juga perlu sentiasa aktif dengan melakukan aktiviti fizikal atau senaman pada intensiti sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 hari seminggu,” dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu sempena Hari Hipertensi Sedunia tahun ini, Dr Noor Hisham menyarankan kepada seluruh rakyat Malaysia mengambil pelbagai langkah bagi mencegah masalah hipertensi termasuk dengan mengawal berat badan, mengehadkan penggunaan garam dan jangan mengambil minuman beralkohol (arak).

“Jika anda seorang perokok, berhenti merokok. Sekiranya anda bukan perokok, jangan mulakan tabiat ini serta lakukan saringan kesihatan dan periksa tekanan darah secara berkala kerana penyakit hipertensi biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata peningkatan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kepentingan pemeriksaan tekanan darah dan bahaya penyakit hipertensi kepada kesihatan mampu mengubah tingkah laku rakyat Malaysia untuk mencegah dan mengawal penyakit hipertensi.


“Seterusnya ini akan mengurangkan risiko kematian pramatang akibat penyakit jantung dan strok di kalangan rakyat Malaysia.

“Saya ingin terus mengingatkan semua pihak bahawa ‘Kita Masih Belum Menang’. Teruskan mengamalkan norma baharu bagi menangani pandemik COVID-19. Kita jaga kita,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.