Wanita beri keterangan dirogol kenalan ADUN Selangor

65

19 MEI: Wanita yang mendakwa dirogol dua kenalan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, pada 5 Disember tahun lalu, memberi keterangan lebih sejam kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) hari ini.

Peguamnya, Asheeq Ali Sethi Alivi, berkata anak guamnya memberi keterangan kepada polis selama 1 jam 10 minit mulai jam 10.30 pagi tadi dan menyerahkan pelbagai bukti bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes terbabit.  

Difahamkan ini adalah kali ketiga mangsa dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung kes rogol berkenaan selepas kali pertama hari sama dia membuat laporan di IPK KL pada 5 Disember 2020 dan kali kedua Mac lalu.

“Kita sudah menyerahkan segala bukti yang anak guam saya ada bagi membantu pihak polis lengkap siasatan.

“Jadi saya harap pihak polis dapat mempercepatkan dan melengkapkan siasatan kerana kami sudah memberikan segala bukti yang ada serta mendakwa individu terbabit dengan kes ini,” katanya ketika ditemui kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada polis di IPK KL hari ini.

Sementara itu, Asheeq berkata pihaknya juga menyerahkan pelbagai bukti diterimanya termasuk dakwaan bahawa pembabitan ADUN berkenaan secara langsung sebagai individu yang ‘set up the hold incident’ atau bersubahat dengan segala kejadian berlaku ke atas anak guamnya.

“Kita telah serahkan segala bukti yang kita ada berkenaan pembabitan ADUN berkenaan dalam keseluruhan kejadian rogol menimpa anak guam saya sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini anak guamnya memberi keterangan di IPD Brickfield berhubung dakwaan mangsa meneri ugutan dan gangguan daripada kenalan individu dinamakan dalam laporan polis kes rogol dibuatnya pada 5 Disember 2020.

Bagaimanapun, Asheeq berkata selepas laporan polis dibuat anak guamnya baru-baru ini tiada  lagi gangguan atau ugutan baharu diterimanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.