USIM tangguh kepulangan pelajar ke kampus

38

19 MEI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menangguhkan pelajarnya pulang ke kampus bermula hari ini sehingga 28 Mei, susulan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara.

Menerusi kenyataannya, USIM berkata, penangguhan itu membabitkan semua pergerakan, termasuk kolej kediaman dan rumah sewa pelajar di USIM, sama ada menggunakan bas diuruskan pihak universiti, dihantar ibu bapa serta waris atau menaiki kenderaan sendiri.

Namun, pelajar yang pulang menaiki kapal terbang diberi kelonggaran untuk meneruskan perjalanan pulang ke kampus.

“Bagi pelajar kategori berkeperluan khas yang perlu mengikuti sesi kuliah secara fizikal, kumpulan ini dibenarkan kembali ke kampus bermula 29 Mei ini mengikut ketetapan jadual akan dimaklumkan USIM.

“USIM sentiasa mementingkan keselamatan pelajar dan dalam masa sama, pihak universiti berusaha memastikan pelajar dapat meneruskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan baik.

“Pelajar perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan dan sentiasa peka dengan pengumuman daripada pihak USIM dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini mengambil inisiatif melaksanakan Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 bermula 7 hingga 12 Mei lalu.

Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus, terbabit dalam program pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Daripada jumlah itu, seramai 538 pelajar dihantar pulang menggunakan kenderaan universiti.

Mengikut perancangan awal, pelajar USIM dibenarkan pulang ke kampus secara berperingkat bermula 17 sehingga 23 Mei ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.