Tiada gerakan lantik KP JAKOA bukan Orang Asli-KPLB

44

19 MEI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menafikan dakwaan wujud gerakan untuk melantik Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) baharu bukan daripada kalangan masyarakat pribumi itu.

Menerusi kenyataannya, KPLB berkata, kemeterian itu masih mengenal pasti calon bersesuaian untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan, malah proses perbincangan dan penelitian sedang berjalan.

Katanya, pencalonan Ketua Pengarah JAKOA dijalankan mengikut prosedur ditetapkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, seperti termaktub di dalam Seksyen 5, Akta 134, Akta Orang Asli 1954.

“Bagaimanapun, masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi pilihan utama KPLB untuk dicalonkan sebagai Ketua Pengarah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 (5) (C) untuk melantik Orang Asli daripada jawatan bersesuai dalam perkhidmatan awam.

“Pemilihan calon ini tidak dibuat secara rawak, tetapi berdasarkan kepakaran, termasuk pengalaman luas dan mahir dalam aspek pentadbiran jabatan, Pengurusan kewangan, Pengurusan Projek Pembangunan dan sosio-ekonomi serta mempunyai jaringan kerjasama erat di antara jabatan di peringkat Persekutuan Negeri dan badan bukan kerajaan (NGO),” menurut kenyataan itu, hari ini.

Isu pelantikan Ketua Pengarah JAKOA tercetus selepas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mengeluarkan kenyataannya mendakwa terdapat gerakan dalam kalangan pegawai KPLB untuk memastikan pelantikan baharu jawatan itu bukan daripada masyarakat Orang Asli bagi menggantikan Prof Dr Juli Edo yang bersara pada bulan lalu.- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.