SOP masuk ke Sabah diperketatkan mulai esok

14

19 MEI : Kerajaan negeri Sabah mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan ke negeri itu mulai esok berikutan kes indeks COVID-19 dari Labuan mencetuskan penularan jangkitan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata langkah berkenaan perlu selepas Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan dua kes membabitkan pasangan suami isteri dari Labuan yang memasuki Sabah sehingga mencetuskan kluster di Tawau.

“Kes indeks iaitu pasangan suami isteri dari Labuan menjalani saringan masuk ke Sabah pada 7 Mei dan didapati negatif COVID-19.

“Selepas seminggu berada di Tawau untuk berhari raya di Ladang Abaka, kes indeks yang mempunyai gejala pada 12 Mei kemudiannya disahkan positif pada 14 Mei dan menjangkiti sembilan ahli keluarga serumah.

“Kes kedua juga dari Labuan yang balik untuk berhari raya ke Tawau pada 8 Mei kemudian disahkan positif COVID-19 pada 16 Mei.

“Dalam tempoh itu, kes indeks yang menetap di ladang Kampung Sungai Imam, Tawau turut menziarahi keluarga di Taman Barkeley menyebabkan jangkitan kepada 43 ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri memperincikan beberapa ketetapan mengenai SOP kemasukan ke Sabah.

Beliau berkata kemasukan pegawai kerajaan dan orang luar atau pelabur asing juga tidak terkecuali diwajibkan untuk membuat ujian saringan COVID-19 dengan keputusan negatif sebelum memasuki Sabah.

Katanya, pengambilan ujian saringan dengan keputusan negatif diwajibkan bagi setiap individu yang ingin memasuki Sabah, di samping turut menetapkan orang bukan asal Sabah dikehendaki kuarantin wajib selama 14 hari di hotel atas tanggungan sendiri.

“Bagi penduduk asal atau penduduk tetap dan pemegang pas kerja yang bermastautin di Sabah dikehendaki menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah apabila tiba di sini.

“Kemasukan pegawai kerajaan yang mempunyai surat rasmi bertugas di Sabah adalah dibenarkan.

“Selain itu, orang luar atau pelabur asing yang datang untuk tujuan membuat pelaburan di Sabah adalah dibenarkan melalui kebenaran khas dengan mengemukakan permohonan terlebih dahulu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.