PKPD di UTM Skudai bermula lusa

42

19 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor akan dilaksanakan selama 14 hari, bermula lusa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan itu dikenakan selepas sebanyak 49 kes positif COVID-19 direkodkan daripada 346 ujian saringan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM), membabitkan penghuni Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej 9 dan 10 serta Pusat Kesihatan.

Katanya, KKM melaporkan kadar positiviti tinggi, iaitu 14.2 peratus dan taburan kes positif serta kontak rapat menular di beberapa kolej lain. 

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di UTM Skudai, Johor berkuat kuasa 21 Mei sehingga 3 Jun 2021.

ISMAIL SABRI

“PKPD ini adalah bagi memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar,” katanya menerusi kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu, Jasin, Melaka akan ditamatkan esok, seperti dijadualkan.

Katanya, KKM menjalankan 313 ujian saringan di lokaliti itu dan daripada jumlah terbabit, sebanyak lapan kes positif direkodkan, malah baki kes aktif di situ disahkan menunjukkan trend penurunan serta kes terakhir direkodkan adalah pada 11 Mei 2021, iaitu sebanyak tiga kes. 

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu, Jasin, Melaka pada 20 Mei 2021 seperti dijadualkan,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, penamatan PKPD dilaksanakan di Kampung Lubok Katak, Tapah, Perak, esok seperti dijadualkan. 

Jelasnya, KKM melaksanakan 314 ujian saringan dan daripada jumlah terbabit, sebanyak 34 kes positif direkodkan. 

“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Lubok Katak, Tapah, Perak pada 20 Mei 2021 seperti dijadualkan,” katanya.

Beliau berkata, PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak, Sabah Kunak, Sabah yang dijadualkan sehingga pada 28 Mei 2021 akan ditamatkan lebih awal, esok.

Penamatan itu, katanya, dilaksanakan apabila sebanyak 895 ujian saringan dijalankan KKM, mendapati 45 daripadanya didapati positif. 

Baki kes aktif di lokaliti ini pula, katanya, menunjukkan trend penurunan dan tiada sampel saringan sedang menunggu keputusan. 

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di SMK Madai, Kunak, Sabah pada 20 Mei 2021, lebih awal daripada tarikh dijadualkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 513 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 484 individu dikompaun, manakala 29 direman. 

“Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka, iaitu 185 individu, gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (105) serta tidak patuh arahan kawalan pergerakan (57).

“Aktiviti perjudian pula merekodkan 12 individu, manakala aktiviti pusat hiburan dan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran, masing-masing mencatatkan lima individu, selain lain-lain (65),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.