Palestin hargai sokongan pemimpin, rakyat Malaysia

34

19 MEI : Sokongan kukuh daripada pemimpin dan rakyat Malaysia terhadap Palestin tidak boleh dipertikaikan, demikian kata Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali

Walid berkata ini kerana isu Palestin amat dekat di hati semua rakyat Malaysia dan ia menyatukan rakyat negara ini tanpa mengira perbezaan latar belakang.

“Bermula daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan agar solat hajat diadakan bagi mendoakan kesejahteraan Palestin. 

“Ini juga diikuti oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei yang mengeluarkan kenyataan solidariti bagi mengutuk serangan rejim Israel ke atas Palestin.

“Mesej jelas turut disampaikan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malah kenyataan bekas perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir juga jelas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Walid turut menjelaskan, semua rakyat Malaysia sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang masing-masing mempamerkan solidariti dan sokongan terhadap Palestin, termasuklah pihak NGO.

“Tiada siapa boleh mempertikaikan sokongan kuat yang diterima Palestin daripada rakyat Malaysia. Sebagai Duta Palestin, saya amat berterima kasih dan berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu menyokong Palestin,” katanya.

Sementara itu, Walid turut menegaskan agar dalam mencari jalan damai di wilayah itu, pihak antarabangsa perlu mengiktiraf hak Palestin sebagai sebuah negara merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara berdasarkan pra sempadan 1967.

Menurut beliau, Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution merupakan satu-satunya solusi yang akan memberikan kedua-dua pihak, Palestin dan Israel peluang untuk hidup secara aman.

“Tiada negara Palestin tanpa Baitulmaqdis. Tiada negara Palestin tanpa Masjid al-Aqsa. Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa adalah keutamaan bagi kami rakyat Palestin.

“Komuniti antarabangsa sedar akan realiti yang berlaku di Palestin dan mereka tahu demi memberikan peluang kepada semua pihak hidup aman di Asia Barat, hak Palestin sebagai sebuah negara merdeka perlu diiktiraf.

“Israel tidak akan boleh menikmati perdamaian, menikmati peluang hidup di penempatan Asia Barat tanpa mengiktiraf hak Palestin dalam sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya. 

Tambahnya, tanpa tekanan serius terhadap Israel untuk menerima Penyelesaian Dua Negara dan mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka Asia Barat akan terus bergolak.

“Kami akan tetap meneruskan perjuangan. Apa yang tidak mampu kami capai akan dicapai oleh anak dan cucu kami.

“Ya, tiada siapa dapat menidakkan kesengsaraan rakyat Palestin di Gaza. Mereka terkepung sekian lama namun pada masa sama, kami turut berjuang menentang rejim Israel di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.