Neelofa, suami didakwa di mahkamah esok

118

19 MEI: Selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa akan didakwa di Mahkamah Majistret Dua Seremban, Negeri Sembilan pada jam 9 pagi esok, berhubung ingkar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini.

Difahamkan turut didakwa bersama esok adalah suaminya, Haris Ismail atau PU Riz.

Menurut sumber, pasangan suami isteri itu akan didakwa berhubung kesalahan merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli permaidani.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superitendan Mohd Fazley Ab Rahman enggan mengulas lanjut dan memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu.

Pada 4 Mei lalu, pengacara dan usahawan itu dan PU Riz yang juga pendakwah bebas, hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan.

Neelofa, 32, dan PU Riz, 26, disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan Kawalan Pergerakan Bersyarat 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menerusi satu video berdurasi 15 saat dimuat naik Neelofa di Instagram Story, dia dan suami berada di sebuah kedai dipercayai di Pusat Borong Nilai 3, Nilai pada 1 Mei lalu.

Dia kemudian memadamkan video terbabit  selepas perkara itu menjadi tular dan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.