Mufti Perak disahkan positif COVID-19

76

19 MEI: Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, disahkan positif COVID-19 dan kini masih dalam rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, yang meminta agar semua pihak mendoakan kesembuhan Harussani.

“Tan Sri (Harussani) masih menerima rawatan di HRPB. Mohon doa dari semua.

“Saya hanya boleh sahkan beliau masih dirawat di HRPB. Berkenaan (dakwaan) beliau memerlukan bantuan oksigen dan sebagainya, (maka) itu perlu dirujuk kepada ahli keluarganya,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta maklum balas mengenai mesej yang viral menerusi WhatsApp berkenaan Harussani yang dijangkiti wabak itu.

Mesej itu antara lain menyatakan Harussani disahkan positif COVID-19 sejak 11 Mei lalu dan memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas, namun dalam keadaan beliau masih sedar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, melalui hantaran di Facebook beliau pada 12 Mei lalu turut memuat naik mengenai keadaan Harussani.

“Saya mendapat maklumat Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak Darul Ridzuan dan isteri beliau positif COVID-19, sedang menerima rawatan di Hospital Permaisuri Raja Bainun Ipoh.

“Sama-sama kita berdoa agar Allah pelihara kedua-dua insan yang kita kasihi ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.