Maybank bantu pelanggan terjejas akibat COVID-19

22

19 MEI: Para pelanggan Maybank yang terjejas akibat pandemik COVID-19 boleh memohon Bantuan Pembayaran Balik.

Maybank dalam satu kenyataan menyatakan bantuan itu merangkumi pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut kenyataan itu, para pelanggan boleh menghubungi bank untuk berbincang pakej Bantuan Pembayaran Balik yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan kewangan semasa.

“Permohonan juga boleh dibuat melalui pelbagai saluran termasuk dalam talian demi kemudahan pelanggan.

“Memandangkan situasi pandemik yang berterusan, keutamaan Maybank adalah untuk memastikan bahawa pelanggan terus mendapat akses kepada bantuan kewangan serta aliran tunai yang diperlukan semasa tempoh mencabar ini,” katanya.

Sehingga awal Mei 2021, Maybank memproses lebih 200,000 permohonan Bantuan Pembayaran Balik yang diterima daripada pelanggan dan meluluskan semua permohonan yang layak dengan jumlah RM32 bilion.

Hampir 37 peratus daripada permohonan yang diluluskan telah diberikan penangguhan pembayaran ansuran bulanan untuk pembiayaan, manakala bagi pelanggan yang lain, pembayaran ansuran bulanan telah dikurangkan untuk jangka waktu yang ditetapkan.

Maybank menjelaskan, selain Bantuan Pembayaran Balik, ia juga terus menyediakan pelbagai penyelesaian pembiayaan untuk perniagaan dan individu.

Untuk kemudahan, pelanggan boleh membuat permohonan Bantuan Pembayaran Balik melalui empat saluran mudah.

Pertama, memohon secara dalam talian melalui Maybank2u (untuk pelanggan individu dan perniagaan milikan tunggal) atau Maybank2u Biz (untuk perusahaan mikro dan PKS).

Kedua, memohon melalui e-mel [email protected] (untuk pelanggan individu) atau [email protected] (untuk pelanggan PKS), dengan memberikan nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, nama perniagaan dan jenis pinjaman.

Ketiga, hubungi mana-mana cawangan, Pusat PKS atau Pusat Pembiayaan Auto di seluruh negara manakala keempat, hubungi Khidmat Pelanggan Maybank di talian 1-300-88-6688 dan tekan *1 untuk Bantuan Pembayaran Balik.

Maybank berkata, untuk keselamatan dan kemudahan, bank menggalakkan pelanggan untuk memohon Bantuan Pembayaran Balik melalui e-mel, telefon atau secara dalam talian.

“Pelanggan yang ingin memohon di cawangan bank, digalakkan untuk membuat janji temu secara dalam talian dengan menggunakan Maybank EzyQ (melalui Maybank2u) sebelum hadir di cawangan,” katanya.

Maklumat lanjut dan soalan lazim mengenai pakej Bantuan Pembayaran Balik Maybank boleh diperoleh melalui www.maybank2u.com.my/covid19 atau hubungi Khidmat Pelanggan Maybank di talian 1-300-88-6688.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.