Lari PKPD, Warga Emas Sebar COVID-19 Pada 7 Ahli Keluarga

47

19 MEI: Tindakan seorang warga emas dari Mukim Bunut Susu ‘melarikan diri’ menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung itu untuk meraikan Aidilfitri mengundang padah apabila menyebabkan tujuh ahli keluarganya dijangkiti COVID-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata warga emas berusia 60-an itu dikatakan lari ke rumah ahli keluarganya yang terletak di Pulau Beluru, Tumpat.

“Sebaik kita mendapati warga emas berkenaan tiada dalam kampung terbabit sedangkan namanya berada dalam senarai, kita mendapat maklumat wanita berkenaan lari ke rumah saudaranya di Tumpat.

“Pejabat Daerah Kesihatan Tumpat kemudian diarah mengesan warga emas berkenaan sebelum mengambilnya untuk tujuan ujian swab.

“Keputusan ujian swab warga emas berkenaan keluar pada hari raya kedua dan disahkan positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika meninjau Kampung Pauh Lima, Bachok Kelantan, yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam tadi sehingga 1 Jun depan.

Dalam pada itu, Zaini memberitahu disebabkan warga emas berkenaan, wabak berkenaan sudah menjangkiti tujuh individu lain iaitu ahli keluarganya di Tumpat.

“Kita mendapati warga emas itu keluar dari kampung selepas mendengar kampung berkenaan akan dilaksanakan PKPD, selain mahu menyambut Aidilfitri.

“Setakat ini, kita masih mengesan kontak rapat warga emas berkenaan untuk dilakukan ujian swab,” katanya

Terdahulu, media melaporkan COVID-19 yang menular sejak 7 Mei lalu di Kampung Pauh Lima melibatkan lokasi yang bersempadanan antara Bachok dan Kota Bharu membabitkan 1,032 penduduk.

Pada masa sama, tular dakwaan mengatakan kumpulan kariah yang mengadakan solat berjemaah secara bersembunyi di dalam gelap dan secara rapat-rapat hingga tercetus penularan pandemik di kampung berkenaan.

Justeru, Dr Zaini memaklumkan berdasarkan keterangan ahli kariah yang positif COVID-19 di Kampung Pauh Lima ada yang mengaku terhadap dakwaan solat berjemaah di sebuah surau di kampung berkenaan namun ada juga yang menafikan dakwaan itu. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.