Kuarantin Diri Jika Positif, Jangan Aniaya Orang Lain-Nabila

54

19 MEI: Pelakon terkenal, Nabila Huda nekad untuk terus melaksanakan kuarantin kendiri bagi mengelak dirinya menjadi risiko kepada orang lain selepas dijangkiti wabak COVID-19.

Nabila turut kesal dengap sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan orang lain boleh menjadi mangsa jangkitan virus tersebut. 

“Walau apa pun terjadi, saya memang tak akan melangkah keluar dari rumah ni untuk pergi ke mana-mana. Cukuplah, kita teraniaya disebabkan manusia yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi laman Instagram miliknya, hari ini. 

Terdahulu, dalam hantaran berbeza anak bekas penyanyi kumpulan rock Search, Amy itu meluahkan kekecewaan atas sikap segelintir individu yang mengambil mudah ancaman jangkitan COVID-19.

Nabila yang merupakan pelakon utama filem seram Mama juga mendakwa dia menjadi mangsa jangkitan wabak itu yang berpunca atas kedegilan orang lain.

“Saya ini jenis duduk rumah kalau tak ada keperluan di luar. Justeru kalau tiada sebab untuk keluar, duduklah diam-diam di rumah. Disebabkan degil, orang lain yang tidak bersalah jadi mangsa.

“Kesakitan yang datang berpunca daripada kepentingan diri dan kecuaian orang lain. Ini sudah jadi konsep teraniaya.

“Kerana nafsu dan keseronokan, habis semua yang tiada kena mengena terpalit sama,” katanya.

Untuk rekod walaupun Nabila disahkan positif Covid-19, suaminya Mohd Izwan Johar dan anak, Keisha Laila terselamat daripada jangkitan tersebut.

Sementara itu, Nabila, 36, turut melahirkan rasa syukur memandangkan dirinya semakin pulih selepas mengasingkan diri selama sembilan hari.

Nabila juga berkata, doktor akan datang ke rumah pada hari ini untuk melakukan ujian calitan pada dirinya dan suami yang sebelum ini dirinya pernah berkongsi pengalaman hilang deria bau, batuk dan selsema berkata dia kini berasa badannya kembali segar dan kuat.

“Selamat pagi kawan-kawan. Sedikit kemas kini, hari ini adalah hari kesembilan kuarantin. Saya semakin pulih dan kuat. Pagi ini bangun badan rasa segar. 

“Saya dah boleh bau dan rasa, tetapi belum 100 peratus lagi namun, saya masih bersyukur. Emosi pun sudah kembali stabil. Saya boleh rasa kulit saya sudah kembali bersinar,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.