KLIA dinobat 9 lapangan terbang terbaik dunia

79

19 MEI: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dinobatkan antara sembilan lapangan terbang terbaik dunia pada suku pertama tahun ini dalam Anugerah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ).

ASQ adalah penanda aras bagi lapangan terbang terbaik dunia yang diumumkan Airports Council International (ACI), baru-baru ini.

Pengiktirafan itu membabitkan aspek kepuasan pelanggan keseluruhan bagi keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

KLIA memperoleh skor 4.99 daripada 5.00, berbanding 4.98 pada 2020 di bawah kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa).

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), berkata selain KLIA, kumpulan itu berusaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatannya selepas menyaksikan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) dinobatkan sebagai lapangan terbang ketiga terbaik dunia dalam kategori 2-5mppa dengan skor 4.97.

“MAHB akan menggunakan tempoh ketika sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik dilaksanakan untuk menggerakkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pengalaman penumpang, selain memastikan lapangan terbang bersedia menyambut peningkatan penumpang kelak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bulan lalu, lapangan terbang kendalian MAHB, termasuk aset di Turki iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) merekodkan jumlah pergerakan penumpang sekitar dua juta orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata walaupun kumpulan itu mencatatkan penurunan mendadak dalam pergerakan penumpang, perkara terbabit bukan alasan untuk memastikan perkhidmatan dan kemudahan kekal berada di tahap tertinggi.

Jelasnya, hasil memberangsangkan yang diraih di atas inisiatif di KLIA dan LGK dalam meningkatkan perkhidmatan dan langkah keselamatan luar biasa dalam norma perjalanan baharu, dijangka dapat membantu mengembalikan tahap keyakinan penumpang.

“Sempadan negara ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan susulan peningkatan kes harian COVID-19, baru-baru ini, namun jumlah pergerakan penumpang bagi rangkaian lapangan terbang tempatan adalah 630,000 penumpang pada April, meningkat hampir lapan peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Ini dipacu peningkatan operasi syarikat penerbangan bagi sektor domestik yang melonjak 161 penerbangan mingguan atau berkembang 19 peratus berbanding Mac, selain mengekalkan faktor muatan melepasi 57 peratus,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Shukrie berkata, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tahun ini dijangka membantu membuka jalan pemulihan secara beransur-ansur.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.