Kelantan bersedia hadapi PKP penuh

14

19 MEI : Kelantan sudah bersedia berdepan kemungkinan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, walaupun ketika ini, COVID-19 di negeri itu berada dalam keadaan terkawal.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata, sehingga kini jumlah jangkitan pandemik itu di negeri berkenaan masih stabil, biarpun wujud kluster baharu di beberapa daerah.

Katanya, sebarang keputusan membabitkan pelaksanaan PKP penuh di negeri itu akan dibincangkan bersama Majlis Keselamtan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

“Setakat ini, walaupun kes tiga angka, tetapi tidak naik terlalu tinggi, justeru untuk sebarang keputusan lanjut kita kena berpandukan kepada apa diputuskan MKN dan JKNK.

“Keputusan ini kita ambil apabila ada pandangan dari JKNK dan kita bukan nak tunggu keadaan makin teruk baharu boleh buat PKP penuh, tetapi semuanya atas cadangan dan nasihat lanjut daripada pihak MKN dan JKNK,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bahru, hari ini.

Jelasnya, kebanyakkan rakyat keliru dengan keputusan pelaksanaan PKP dan sebagainya, tetapi mereka perlu faham perkara itu sebenarnya dibuat berdasarkan nasihat serta perbincangan bersama dua agensi terbabit.

Mohd Amar berkata, setiap keputusan dilakukan mempunyai prosedur tertentu dan walaupun agak sukar diambil, perkara itu sudah dibincangkan membabitkan kerjasama beberapa agensi serta peringkat.

“Memanglah setiap kali mesyuarat, kita akan bawa pandangan serta cadangan kita, selebihnya JKNK akan tentukan sebab mereka lebih mengetahui baik buruknya dan itu yang kita kena faham.

“Dalam keadaan darurat sekarang ini, kita hanya sebagai pelaksana sahaja sebab bila darurat, kerajaan negeri boleh dianggap hilang kuasa sepenuhnya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.