Sarawak luluskan pengunaan vaksin AstraZeneca

16

18 MEI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak meluluskan penggunaan vaksin AstraZeneca atau dikenali sebagai (Vaxzeyria) untuk digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu.

Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan berkata vaksin tersebut akan dibekalkan kepada Sarawak menerusi CITF Kebangsaan untuk mereka yang layak atau memohon secara sukarela.

“Pemberian vaksin ini adalah berdasarkan temu janji yang dibuat secara sukarela dengan kaedah ‘first-come, first-served’.

“Pusat pemberian vaksin (PPV) khas dan berasingan akan ditubuhkan untuk tujuan tersebut yang akan diumumkan dalam waktu terdekat,” kata CITF dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG) memutuskan untuk menolak penggunaan vaksin AstraZeneca untuk PICK di negeri itu mengelakkan isu pembatalan pendaftaran program vaksinasi berlaku seperti di Semenanjung.

Kerajaan Sarawak tidak mahu PICK di negeri itu terganggu oleh ketakutan dan keraguan orang ramai terhadap penggunaan vaksin tersebut jika ia digunakan pada ketika itu.

Selain itu, susulan sambutan menggalakkan vaksin itu di Selangor dan Kuala Lumpur secara sukarela, tinjauan secara dalam talian pada 4 Mei 2021 menunjukkan penerimaan rakyat Sarawak tentang vaksin itu.

“Hasil tinjuan mendapati 68.4 peratus daripada 1,037 responden bersetuju untuk rakyat Sarawak diberi pilihan untuk mengambil vaksin AstraZeneca.

“Manakala 52.9 peratus daripada 1,040 responden bersedia dan mahu diberi vaksin AstraZeneca,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.