Neelofa buat hal lagi, kali ini langgar SOP Aidilfitri

300

18 MEI: Selebriti kontroversi Noor Neelofa Mohd Noor, membuat ‘onar’ sekali lagi apabila didakwa sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan aktiviti ziarah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Neelofa, 32, terus menjadi perhatian warganet di media sosial apabila tersebar pula video pendek meraikan kemeriahan Aidilfitri baru-baru ini bersama ahli keluarganya.

Video berdurasi 27 saat dengan kapsyen “1 Syawal yang penuh mulia” itu, menyaksikan kakak Neelofa, Noor Nabila sedang bersalaman dengan ibu bapanya, dipercayai ‘terlepas’ dikongsikan seketika oleh Nabila di Instagram Story.

Begitu cekap dan pantasnya warga netizen, apabila ia tetap dapat ditularkan di Twitter, meskipun kini video itu sudah dipadamkan oleh Nabila di media sosialnya.

Rata-rata netizen kembali ‘panas hati’ dan bengang dengan Neelofa termasuk keluarganya. Malah, usahawan terkenal itu disifatkan sangat berani melanggar undang-undang yang sudah beberapa kali dilakukannya.

Belum lagi reda isu merentas negeri yang dilakukan pada Ramadan lalu ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan bagi membeli karpet, sekarang timbul pula kisah baharu berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri yang ditetapkan.

Pelbagai luahan panas dan berbaur kecaman ditulis netizen di Twitter berhubung dakwaan isu melanggar SOP lagi yang dibuat Neelofa dan keluarganya kali ini.

Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap keluarga Noor Neelofa Mohd dikenali Neelofa kerana didakwa melanggar prosedur operasi satandard (SOP) ketika sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, terdapat video tular yang dimuat naik melalui akaun Instagram kakak kepada selebriti berkenaan yang merakamkan detik sambutan Aidilfitri, Khamis lalu di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail.

“Susulan itu satu laporan polis dibuat berhubung video yang tular di media sosial berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati video tular yang berdurasi selama 26 saat itu memaparkan ahli keluarga selebriti berkenaan berkumpul di sebuah rumah ketika sambutan Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, video terbabit dikongsi oleh netizen melalui Twitter.

“Kes masih dalam penyiasatan polis dan siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular membabitkan keluarga selebriti tempatan ini dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.