Lima Individu Termasuk Selebriti Beri Keterangan Ingkar SOP

16

18 MEI: Polis merakam keterangan seorang selebriti lelaki dan ahli keluarganya yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika Aidilfitri. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Eshak berkata, keterangan selebriti terbabit selaku tuan rumah dirakamkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 10 pagi tadi. 

“Sehingga kini pihak polis Ampang Jaya telah merakam keterangan lima orang termasuk selebriti atau tuan rumah.

“Kesemua keterangan diambil di IPD Ampang Jaya. Kes masih dalam tindakan dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, PN BBC Portal melaporkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung pelanggaran SOP PKP membabitkan keluarga seorang selebriti ketika Aidilfitri yang tular di media sosial. 

Mohamed Farouk memaklumkan kejadian disyaki berlangsung di kediaman selebriti terbabit yang terletak di Hulu Klang, Ampang, Selangor dan terdapat kira-kira 13 individu yang disyaki satu keluarga yang dipaparkan dalam gambar berkenaan.

Menurut beliau, majlis tersebut di jalankan tanpa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak MKN iaitu program ziarah hari raya. Aktiviti ini adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Baru-baru ini, tersebar di media sosial gambar keluarga selebriti berkenaan berkumpul untuk menyambut Hari Raya bersama isteri dan bekas isteri serta anak-anak mereka.

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai terutama netizen kerana perkara itu jelas melanggar SOP PKP kerana selebriti itu tidak tinggal sebumbung bersama bekas isterinya serta anak-anak daripada hasil perkahwinan mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.