Sultan Muhammad V Kurnia RM300,000 Buat Palestin

19

17 MEI: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan RM300,000 kepada rakyat Palestin bagi menzahirkan solidariti baginda terhadap umat Islam yang ditindas rejim Zionis Isreal. 

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kurniaan Sultan Kelantan diserahkan kepada beliau untuk disalurkan menerusi Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah).

“Menjunjung kasih atas ampun perkenan Tuanku terhadap kurniaan tersebut. Kurniaan itu menunjukkan keprihatinan, kebersamaan serta solidariti Tuanku di atas situasi getir bumi al-Aqsa sekarang,” kata menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini. 

Penyerahan kurniaan itu disampaikan oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan, Tengku Datuk Azmi Tengku Jaafar kepada Ahmad. 

Majlis tersebut turut disaksikan Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Setiausaha Sulit Kanan Sultan Kelantan, Datuk Nik Shafriman Nik Hassan.

Terdahulu, seramai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Kelantan menyalurkan elaun bulanan mereka dengan jumlah keseluruhan RM168,000 bagi disumbangkan kepada rakyat Palestin.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Hassan Mahamood berkata, setiap ADUN bersetuju membuat potongan sebulan elaun mereka berjumlah RM7,000 seorang demi membantu kebajikan dan meringankan penderitaan rakyat Palestin.

ADUN Tawang itu memaklumkan, keputusan diambil pemimpin PAS negeri berkenaan adalah sebagai menunjukkan solidariti Kelantan untuk bersama-sama membantu rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan peperangan.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan sebanyak RM100,000 daripada Tabung Serambi Mekah disumbangkan kepada umat Islam di Palestin di samping Ahmad sendiri secara peribadi menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000.

Orang ramai yang ingin turut serta menderma boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Tabung Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) – 03018010080024. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.