Sesak 3KM di SJR Gombak, 22 Dikompaun Rentas Negeri

50

17 MEI: Sebanyak 22 kompoun telah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sekatan Jalan Raya Plaza Tol Gombak ke atas kenderaan yang memasuki pusat bandar raya dari Lebuh Raya Karak semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya membuat pemeriksaan teliti terhadap semua jenis kenderaan yang melalui SJR Plaza Tol Gombak bagi memastikan tiada pihak yang terlepas daripada melakukan kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran.

Menurut beliau, setiap kompuan sebanyak RM5,000 itu dikeluarkan terhadap pengguna lebuh raya yang pulang daripada berhari raya  dari Pantai Timur atas kesalahan merentas negeri.

“Kita telah mengeluarkan 22 kompoun hanya untuk semalam sahaja di atas dua kesalahan iaitu yang pertama ialah tidak memiliki dan gagal mempamerkan dokumen kebenaran rentas negeri. 

Manakala yang kedua adalah kesalahan  menyalahgunakan dokumen kebenaran majikan pekerja untuk balik kampung dan inilah dua kesalahan yang dikesan dan dikeluarkan kompaun RM5,000 untuk kesalahan itu,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini. 

Dalam pada itu, Arifai memaklumkan beliau berada di Tol Gombak memantau SJR bermula jam 5 petang hingga 1 pagi yang menyebabkan kesesakan kenderaan sehingga tiga kilometer menghala ke ibu negara.

Menurut beliau, pemeriksaan teliti dilaksanakan ke atas setiap kenderaan baik motosikal mahupun kenderaan berat serta bas ekspres bagi memastikan tiada siapa yang terlepas. 

“Kebanyakan mereka mempunyai dokumen merentas negeri dan paling banyak urusan adalah membabitkan urusan balik universiti dan pendidikan.

“Yang tiada dokumen kebenaran merentas negeri kita keluarkan kompaun RM5,000 seorang.

“Hanya tiga kilometer sahaja sesak dan ia tidaklah serius sangat berbanding musim perayaan biasa seperti tahun-tahun sebelum ini yang kebiasaannya sesak sejauh 20 hingga 30 kilometer walaupun tiada SJR sebelum Tol Gombak,”katanya.

Terdahulu, kesesakan di Plaza Tol Gombak pada malam tadi menyebabkan ia tular di media sosial dan menerima pelbagai kritikan dan ancaman daripada warga maya yang mempertikaikan masih tiada kesedaran kendiri daripada orang ramai untuk menurunkan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.