Polis Siasat Perhimpunan Protes Israel Depan Kedutaan AS

90

17 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berkaitan perhimpunan penyerahan memorandum bantahan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat oleh Ketua Polis Balai Pudu yang berada di lokasi kejadian.

Menurut beliau, kumpulan yang dikatakan mewakili Persatuan Pengguna Semboyan hadir menyerahkan memorandum sebagai bantahan akan dipanggil polis dalam masa terdekat.

“Pihak penganjur juga akan dipanggil berkaitan isu ini bagi membantu siasatan polis. Tiada sebarang penyerahan memorandum oleh kumpulan itu kerana pihak Kedutaan AS tidak mahu menerima memorandum berkenaan.

“Tindakan sekumpulan individu yang berkumpul di kedutaan berkenaan adalah bagi melepaskan geram terhadap isu Israel dan Palestin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ashari memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) iaitu melakukan aktiviti terlarang ketika perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.

PERSATUAN Pengguna Semboyan Malaysia bersama beberapa wakil NGO lain turut membakar dan memijak bendera Israel sebagai tanda bantahan atas serangan Israel ke atas Palestin.

Terdahulu, usaha Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain menyerahkan memorandum bantahan berhubung serangan Israel di Gaza, hari ini gagal apabila tindakan mereka dihalang oleh polis.

Ketika hujan lebat itu mereka berusaha menyerahkan memorandum kepada wakil Kedutaan Besar Amerika Syarikat di ibu negara namun kumpulan berkenaan tidak dibenarkan menghampiri kedutaan Amerika Syarikat untuk tujuan itu.

Bagaimanapun polis dilihat memberi ruang kepada mereka berada di sebelah kawasan kedutaan untuk tempoh masa singkat bagi menyatakan bantahan secara aman.

Kumpulan yang diwakili Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi berada di kawasan berkenaan kira-kira 20 minit bagi menyatakan bantahan terhadap serangan yang berlaku di Palestin.

Bendera Israel turut dibakar sebagai tanda mereka mengutuk sekeras-kerasnya serangan dilancarkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang menyasarkan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza, yang masih berlanjutan sejak seminggu lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.