Malaysia bersedia hantar pasukan pengaman ke Palestin

88

17 MEI: Menteri Kanan (Pertahanan), Ismail Sabri Yaakob, menegaskan Malaysia sedia menghantar pasukan pengaman ke Palestin sekiranya diminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh membuat keputusan secara sendiri berhubung penghantaran misi pasukan pengaman ke Asia Barat susulan konflik antara Palestin dan Israel, memandangkan negara ini terikat dengan undang-undang antarabangsa.

“Kalau PBB minta, kita sedia hantar misi pengaman ke Palestin dan perkara ini mesti ditentukan PBB, tidak boleh Malaysia membuat keputusan (sendiri), sebaliknya mesti di bawah PBB, itu peraturannya.

“Kita tidak boleh bersendirian hantar tentera kita kerana membabitkan undang-undang antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat berkenaan Kesiapsiagaan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia Bagi Menangani Ancaman Wabak COVID-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, hari ini

Ismail Sabri berkata, Malaysia sebelum ini pernah terbabit dengan misi penghantaran pasukan pengaman di banyak negara menerusi PBB.

“Memang kira ada hantar misi pasukan pengaman di bawah panji PBB ke Lubnan, Filipina, Sudan, Sierra  Leone dan Congo sebelum ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.