Kutipan #Aid4Palestine lepasi sasaran kutipan RM 1 juta

47

17 MEI: Dana disumbangkan kepada tabung #Aid4Palestine sudah melepasi sasaran kutipan awal apabila berjaya mengumpul sebanyak lebih RM1.5 juta, setakat pagi ini.

#Aid4Palestine menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta sehingga 30 Syawal ini bagi membantu memperjuangan keperluan dan membela kehidupan rakyat Palestin yang kini berdepan penderitaan akibat serangan Israel.

Timbalan Pengerusi II Aid4Palestine, Mohd Yusni Md Piah, berkata jumlah kutipan besar mengatasi jumlah dan tempoh sasaran awal itu, menunjukkan dukungan padu ahli dan pimpinan PAS kepada Palestin.

“Kutipan ini juga disumbangkan penyokong PAS dan orang awam dan saya percaya jumlah terbabit akan terus meningkat.

“Saya yakin dana ini akan meningkat kerana kita lihat pun setiap hari jumlahnya semakin bertambah, malah setakat ini, dana membabitkan PAS adalah hanya meliputi PAS Kedah serta PAS Terengganu yang isyiharkan secara rasmi dan kita ada PAS di 12 negeri lain sedang menggerakkan usaha kutipan,” katanya.

Mohd Yusni yang juga Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), berkata ada juga pimpinan dan ahli PAS menggerakkan lelongan barangan peribadi untuk dibida dan hasilnya dimasukkan ke tabung itu, justeru menjelang tempoh sehingga 30 Syawal, pihak sekretariat menjangkakan kutipan terbabit akan terus meningkat.

“Pihak sekretariat juga menerima makluman dua pemuda dari Terengganu dan Pulau Pinang yang menawarkan motosikal kuasa tinggi dan basikal untuk dibida,” katanya.

Selepas dilancarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, #Aid4Palestine terus menerima sumbangan derma menggalakkan daripada pelbagai pihak.

Bermula dengan komitmen RM350,000 disalurkan PASRelief, Yayasan Amal Malaysia, Cakna Palestin dan Muslim Care bagi fasa pertama, tabung itu terus menerima sambutan apabila memperoleh sumbangan melebihi nilai sasaran sehingga 30 Syawal bagi fasa kedua, iaitu RM650,000.

Fasa ketiga bagi #Aid4Palestine iaitu selepas 30 Syawal pula, meletakkan sasaran sebanyak RM10 juta.

Bagi pihak yang ingin menyumbang, mereka boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 5640 7061 1352 (Tabung Kemanusiaan Antarabangsa) atau 5640 7061 2333 (PASRelief) dengan rujukan ‘Gaza’.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan dengan menghubungi talian ‘hotline’ 011-2077 5802 atau layari Facebook rasmi PASRelief di https://web.facebook.com/pasrelieff. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.