COVID-19: Khairy jalani kuarantin di rumah

184

17 MEI: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar sedang menjalani kuarantin di rumah berikutan menjadi salah seorang kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan Khairy menerusi ciapannya di Twitter pada Isnin.

Perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 10 hari.

“Setelah dikenal pasti kontak rapat kepada kes positif COVID-19, perintah HSO selama 10 hari telah dikeluarkan oleh KKM.

“Bagaimanapun, saringan ujian RT-PCR menunjukkan saya negatif COVID-19,” katanya.

“Saya akan ‘update’ (kemas kini) mengenai penyertaan saya sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hujung minggu ini sekiranya ada sebarang perubahan,” katanya yang turut dipakaikan gelang pink.

Justeru, sidang akhbar mingguan perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diadakan secara maya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada sidang itu mencelah, sekiranya Khairy didapati positif beliau juga akan terkena ‘tempias’.

“Kalau positif, saya pun kena,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.