Azeez imbau kenangan diserang Zionis ketika di Palestin

104

17 MEI: Konflik Palestin-Israel yang sedang tercetus itu dilihat sebagai tiada jalan penghujung di mana rakyat Islam Palestin dihina, diserang dan dicederakan ketika menjalani ibadah di bulan Ramadhan dan sambutan Aidilfitri. 

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kekejaman terkini regim Zionis Israel yang tular di serata dunia, telah mengundang kemarahan terutama di kalangan masyarakat Islam. 

“Jeritan dan tangisan rakyat Palestin yang terkini saya lihat melalui media sosial dan media masa meluluhkan dan menghibakan hati saya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Dalam pada itu, Abdul Azeez memberitahu tindakan Israel itu mengimbau kembali kenangannya mengetuai Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) dan Biro Kebajikan Umno Malaysia yang telah mewakili jutaan rakyat Malaysia dalam sumbangan ke Gaza di bulan Ramadhan pada tahun 2010.

“Pada tahun 2011, rakyat Palestin di Gaza diserang sekali lagi. Pertempuran kali ini mengakibatkan kemusnahan lebih teruk yang berterusan hingga penghujung 2012. Sekali lagi saya mengetuai KP1M dalam misi ‘Gelombang Kedua Laluan Ke Gaza’ berada di bumi bertuah Palestin 7-16 Disember 2012. 

“KP1M mewakili 30 juta rakyat Malaysia ketika itu membawa mesej utama mengutuk kezaliman regim Zionis yang berterusan menyerang rakyat Palestin bertujuan mengusir mereka dari bumi kelahiran mereka sendiri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Mengulas lanjut, Abdul Azeez memaklumkan di atas sokongan jitu dan beristiqamah dalam membantu rakyat Palestin, beliau telah dilantik sebagai Duta Kehormat Palestin oleh Ismail Haniyeh yang ketika itu merupakan Perdana Menteri Hamas.

Justeru itu, beliau mengharapkan dan berdoa agar pasport beliau dapat dipulangkan kembali supaya ada sinar harapan untuk dirinya kembali berjuang membantu mereka yang memerlukan khususnya di Palestin. 

“Ia sebenarnya merupakan pengiktirafan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib dan penderitaan rakyat Palestin yang ditindas bertahun-tahun lamanya. 

“Saya dan rakan-rakan seperjuangan sememangnya telah bersiap sedia untuk berjihad di bumi Palestin dan jika sekiranya kami gugur di bumi bertuah tersebut, semoga Allah menempatkan kami bersama para syuhada,” katanya. 

Sementara itu, mengenangkan kembali detik bersama rakyat Palestin, Azeez memberitahu bahawa beliau dan pasukannya hampir dibom dan kenderaan yang digunakan menjadi sasaran Israel ketika menyampaikan bantuan pada Ramadan 2010.

Beliau juga memaklumkan ketika serangan 
 50 hari regim Zionis ke atas rakyat Palestin pada 8 Julai 2014 sehingga 26 Ogos 2014, mereka menghadapi pelbagai cabaran dan perlu menggunakan bermacam-macam cara untuk menyampaikan bantuan khususnya ubat-ubatan kepada rakyat di Palestin. 

” Atas faktor keselamatan hanya 3 anggota misi dibenarkan memasuki Gaza iaitu Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin, Dr Anwar Al-Agha, Duta Palestin ke Malaysia dan saya sendiri untuk berunding cara kaedah menyaluran bantuan makanan, ubat-ubatan dan lain-lain lagi. 

“Kami diarah oleh tentera Mesir untuk menaiki kenderaan kereta kebal demi menjaga keselamatan dan dibawa hingga ke Rafah Gaza untuk rundingan selanjutnya. Walaupun diuji pelbagai cabaran dan ancaman nyawa, semangat saya dan pasukan KP1M tidak pernah luntur malah terus membara.

“Jeritan dan tangisan rakyat Palestin yang terkini saya lihat melalui media sosial dan media masa meluluhkan dan menghibakan hati saya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.